Assalamualaikum,
Semoga kita semua dilimpahi dengan rahmat dariNya berkat dari keikhlasan hati untuk beribadat kepada Allah SWT. Dalam kita menempuhi hidup sebagai seorang hamba Allah yang kerdil, sentiasalah kita memohon diberikan keikhlasan dan hidayah dariNya kerana hanya Dia sahaja yang berkuasa kepada siapa diberikan olehNya hidayah. Untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, sentiasalah melakukan kunjungan ke rumahNya yang sentiasa terbuka dan menerima tamuNya tanpa ada jemu dan buruk sangka. Damaikanlah rumahNya dengan majlis-majlis ilmu dan membaca Al-Quran, insyaAllah akan sentiasa kita dalam perlindungan dan rahmat dari Allah SWT.
"Barang siapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu maka Allah memudahkan baginya jalan ke syurga. Dan sesungguhnya malaikat membentangkan sayapnya untuk orang yang menuntut ilmu kerana puas dengan apa yang diperbuatnya."(HR Abu Daud dan al-Tirmizi)
Perniagaan mengandungi banyak cabangnya, dari cabang pertanian hinggalah yang canggih manggih seperti industri dan teknologi maklumat. Tidak dinafikan bahawa berniaga adalah salah satu kegiatan yang dihalalkan dalam Islam. Namun begitu, yang dihalalkan adalah perniagaan yang menepati syarak dan kehendak Islam manakala yang berbentuk riba dan penindasan adalah diharamkan oleh Islam. Untuk tidak terjerumus ke dalam perniagaan yang diharamkan, maka moleklah seandainya kita mengambil tahu bagaimana perniagaan yang menurut syariat agar kesuciannya terjaga dan kita terhindar dari perkara yang di larang oleh Allah SWT.
Dari segi konsep, berniaga adalah salah satu bentuk muamalah yang disyariatkan Islam. Dari segi bahasa ia bermaksud berdagang dan berjual beli, manakala dari syariat ia diertikan sebagai pertukaran harta dengan harta, dengan syarat2 tertentu. Harta yang dimaksudkan ialah semua jenis barang yang bernilai di sisi syariat. Antara aktiviti perniagaan yang menurut Islam ialah:
1)Jual beli (al-Bai)
2)Sewa (al-Ijarah)
3)Saham (al-Mudharabah)
4)Gadaian (al-Rahn)
5)Syarikat (al-Syarikat)
6)Insurans (al-Takaful)
7)Hutang (al-Qaradh)
Islam tiada melarang penganutnya berniaga bahkan menggalakkan mereka keluar mencari rezeki dari sumber yang halal. Rasulullah SAW sendiri pernah menjadi wakil perniagaan Khadijah binti Khuwailid r.a. ke negeri Syam. Terdapat juga para sahabat yang terkenal sebagai ahli perniagaan yang berjaya bahkan berupaya memecah monopoli kaum yahudi sewaktu di Madinah seperti Abdul Rahman bin Auf r.a. Islam amat menggalakkan dan menganjurkan umatnya menjalankan aktiviti perniagaan untuk kepentingan dan hubungan baik sesama manusia.
Hayatilah kandungan doa ini untuk sekadar renungan;
"Ya Allah,cukupkanlah aku dengan rezeki-Mu yang halal (hingga aku terhindar) daripada perkara yang haram. Kayakanlah aku dengan anugerah-Mu (hingga aku tidak minta) kepada selain-Mu" (Doa beroleh harta halal dan mudah membayar hutang)
Sekian, Wassalam...
0 comments:
Post a Comment