Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua,
InsyaAllah pada kali ini ana akan meneruskan sambungan tentang adab-adab berdoa seperti yang terdapat dalam buku 101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran. Seperti entry berkaitan doa sebelum ini iaitu
Siri 1: Suatu Permulaan dan
Siri 2.1: Adab Berdoa, entry kali ini ialah kesinambungan dari Siri 2.1 tersebut. Untuk mendapat kefahaman dan manfaat yang lebih menyeluruh lagi, sahabat bolehlah merujuk pada dua entry tersebut dahulu supaya akan lebih menghayati apa yang akan disampaikan pada kali ini.
Berkenaan sambungan kepada
adab-adab berdoa untuk mendapat kemakbulan Allah SWT ialah:
>>
Tidak berdoa untuk keburukan seperti kecelakaan dan memutuskan silaturrahim. Nabi SAW bersabda:
"Doa seseorang hamba akan sentiasa dimakbulkan selama mana dia tidak berdoa untuk berbuat dosa atau memutuskan silaturrahim..." (HR Muslim)
>>
Tidak berdoa di tempat maksiat.
>>
Merendahkan suara kerana Allah berfirman dalam surah al-A'raf ayat 205. Maksudnya:
"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintah-Nya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.">>
Berdoa dengan mengucapkan 'Ya Rabb' sebanyak 3 kali. Diriwayatkan daripada Atha' r.a., beliau berkata:
Tidaklah seseorang hamba mengatakan 'Ya Rabb' sebanyak 3 kali melainkan Allah mendengar permintaannya. Al-Imam Malik pernah ditanya tentang panggilan kepada Allah dalam doa mengenai wajar atau tidak diseru dengan nama 'Sayyid'. Jawab beliau:
"Katakanlah 'Ya Rabb' kerana itulah panggilan para nabi a.s. kepada Allah dalam munajat mereka".Doa juga perlu diulang-ulang. Baginda selalunya mengulangi satu-satu doa sebanyak 3 kali. Sebagai contohnya Nabi SAW membacakan doa di bawah 3 kali pada setiap petang. Maksudnya:
"Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna, daripada kejahatan sesuatu yang diciptakan." (HR Ahmad)
>>
Mengadap ke arah kiblat. Dalilnya ialah Ubbad bin Tamim meriwayatkan daripada bapa saudaranya iaitu Abdullah bin Zaid bin Asim al-Maziniy, katanya:
"Aku melihat Rasulullah SAW pada hari baginda keluar untuk memohon kepada Allah agar diturunkan hujan. Baginda membelakangkan dirinya ke arah orang ramai dan mengadap kiblat. Kemudian baginda mengalihkan selendangnya. Seterusnya mengerjakan solat dua rakaat dengan bacaan yang kuat pada setiap rakaat." (HR Bukhari)
>>
Mengangkat kedua-dua belah tangan sewaktu berdoa berdasarkan dalil:
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pernah berlaku musim kemarau pada zaman Rasulullah. Ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar pada hari Jumaat, seorang Arab Badwi bangkit, lalu bertanya: "Wahai Rasulullah, segala harta benda telah musnah. Seluruh ahli keluarga juga kelaparan. Berdoalah kepada Allah untuk kami agar Allah turunkan hujan."
Baginda lalu mengangkat kedua belah tangan. Pada waktu itu tidak nampak tompokan-tompokan awan. Tiba-tiba awan seumpama buih berarak. Baginda masih lagi tidak turun dari mimbar hinggalah kami melihat hujan mula menitis membasahi janggutnya. Seharian kami ditimpa hujan. Begitu juga keesokannya dan hari selepasnya sehingga tiba hari Jumaat seterusnya. Pada hari itu, Arab Badwi tempoh hari bangun lalu berkata: "Semua bangunan telah runtuh, harta benda juga telah ditenggelami air. Oleh itu, berdoalah kepada Allah untuk kami, wahai Rasulullah."
Baginda lalu menadah tangan ke langut, lalu berdoa. Maksudnya: "Ya Allah, berilah manfaat kepada kami, dan janganlah jadikannya musibah kepada kami." (HR al-Bukhari)
>>
Berdoa dalam keadaan berwuduk.
>>
Mengakui dosa yang dibuat, menyesalinya dan bertaubat serta beristighfar kepada Allah. Dalilnya ialah Allah mengajar kita supaya bertaubat daripada dosa menerusi kisah Nabi Yunus a.s. yang bertaubat melarikan diri daripada tanggungjawab berdakwah. Baginda akhirnya telah ditelan oleh ikan Nun selepas undian jatuh kepada baginda. Firman Allah dalam Surah al-Anbiya' ayat 87-88 bermaksud:
"Dan orang yang berada dalam perut ikan Nun (Nabi Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu mengira kami tidak berkuasa ke atasnya. Dia menyeru didalam gelap-gelita; 'Tiada Tuhan yang layak diabdikan diri melainkan-Mu. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong di kalangan orang-orang yang zalim.' Lalu Kami menerima seruannya, dan Kami selamatkannya dari kesusahan. Demikianlah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.">>
Tidak bersajak semasa berdoa jika hanya bertujuan untuk memperindahkannya kepada pendengar.
>>
Menggunakan ayat yang ringkas tapi padat dengan makna (al-jami'). Ini berdasarkan kepada sebuah hadis sahih,
"Semasa berdoa Nabi SAW gemar menggunakan ayat-ayat ringkas tetapi padat dengan isi dan baginda SAW meninggalkan yang meleret-leret." (HR Abu Dawud,dianggap sebagai sahih).
>>
Menyeru Allah SWT dengan nama-nama-Nya yang mulia iaitu al-Asmaul Husna. Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 180 yang bermaksud:
"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan."
Sekian sahaja untuk kali ini, insyaAllah masih ada sambungan kepada adab-adab di dalam berdoa pada entry-entry yang akan mendatang. Semoga mendapat manfaat dan faedah dari perkongsian ini.
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment