Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sempena hari Jumaat yang menjelang tiba, marilah kita berbicara tentang kelebihan dan kenikmatan yang Allah berikan kepada kita umat Islam untuk dimanfaatkan. Seperti sabda Rasulullah SAW,
"Sebaik-baik hari yang terbit matahari pada hari berkenaan ialah hari Jumaat”. Pada hari Jumaat jugalah peristiwa-peristiwa besar bagi umat Islam telah berlaku seperti Nabi Adam dijadikan. Hari Jumaat jugalah Nabi Adam dimasukkan ke dalam syurga dan kemudian pada hari Jumaatlah Allah memerintahkan Nabi Adam dikeluarkan dari syurga. Pada hari Jumaat juga, kaum lelaki diwajibkan untuk bersembahyang Jumaat iaitu sembahyang yang dilakukan sebanyak 2 rakaat dimana ia dilakukan pada waktu Zohor. Solat Zohor ada 4 rakaat, dan solat Jumaat pula 2 rakaat. Namun begitu, umat Islam lelaki wajib mendengar 2 khutbah sebelum mengerjakan sembahyang Jumaat ini.
Betapa besarnya hari Jumaat ini kerana, pada hari Jumaat Allah mengutuskan Malaikat ke muka bumi untuk mencatatkan nama-nama orang Islam yang ke masjid untuk mendengar khutbah dan seterusnya mendirikan solat. Kemudian malaikat naik semula ke langit untuk mempersembahkan nama-nama ini. Allah mengampunkan dosa-dosa orang Islam yang menyempurnakan solat Jumaat. Memandangkan betapa pentingnya sembahyang Fardhu Jumaat, Rasulullah SAW amat mengambil berat terhadapnya sehingga Baginda telah memberikan amaran keras kepada mereka yang mengabaikan sembahyang Fardhu Jumaat, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Abil Jahdid Dhamri katanya, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : Barangsiapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah Subhanahu Wata'ala akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran". (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah)
Terdapat juga banyak amalan2 sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW pada hari Jumaat supaya dapat menambahkan lagi ketakwaan kita kepada Allah SWT dan bertambah pahala amalan dan darjat di sisiNya. Antara amalan-amalan tersebut ialah;
Pertama : Membaca Surah As Sajdah di dalam sembahyang Fardhu Subuh dan diiringi dengan sujud tilawah. Sesungguhnya tiada ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang melakukan ibadat ini melainkan syurga Allah SWT yang terbentang luas, sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadis yang bermaksud :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Apabila anak cucu Adam Alaihissalam membaca Surah As Sajdah kemudian mereka sujud kepada Allah, syaitan mengasingkan dirinya dari majlis itu dalam keadaan menangis sambil berkata : Celakalah aku, anak cucu Nabi Adam Alaihissalam di perintah untuk sujud kepada Allah, maka bagi mereka itu balasan syurga sedangkan aku juga disuruh untuk sujud kepada Allah, tetapi aku ingkar, oleh itu untuk-ku api neraka". (Hadis riwayat Imam Abu Daud)
Kedua : Membaca Surah Al Kahfi pada malam Jumaat atau pagi hari Jumaat. Mereka yang membaca surah ini akan mendapat petunjuk dan pimpinan daripada Allah SWT di sepanjang minggu tersebut dan akan memperolehi cahaya, sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis maksudnya:
"Dari Abi Sahid Al Khudri katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang membaca Surah Al Kahfi pada malam Jumaat nescaya Allah Subhanahu Wata'ala akan menyinari dirinya dengan cahaya antara dua Jumaat". (Riwayat Al-Imam Ad-Darimi)
Ketiga : Memperbanyakkan berselawat ke atas Rasulullah SAW, sebagaimana sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud :
"Dari Abi Ad Darda'e katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Perbanyakkanlah selawat ke atas-Ku pada hari Jumaat. Sesungguhnya ia disaksikan oleh para malaikat". (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)
Terdapat juga amalan-amalan lain yang digalakkan dan disunatkan pada hari Jumaat antaranya
membaca al-Quran, beristighfar, memotong kuku, berhias dan memakai wangian, membersihkan diri/mandi sebelum ke masjid, memakai pakaian bersih atau baru (seeloknya putih), segera ke masjid, berzikir, memberikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang disampaikan, menunggu sehingga doa selesai di baca, menunaikan solat sunat selepas solat Jumaat dan banyak lagi.
"Dari Ali bin Abi Talib Radiallahuanhu katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang bercakap-cakap pada hari Jumaat ketika imam sedang membaca khutbah dan sesiapa yang melarang kepada rakannya yang bercakap, maka tiadalah Jumaat baginya". (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Semoga kita beroleh manfaat dari perkongsian ini dan semoga dibuka pintu rahmat olehNya untuk kita dapat melakukan amalan-amalan yang dianjurkan di atas. Semoga dengan terlatihnya kita melakukan amalan-amalan yang menjadi kewajipan dan disunatkan pada hari Jumaat yang dimuliakan, kita akan dipermudahkan untuk mengulanginya pada hari-hari yang lain, InsyaAllah.
Sekian sahaja dari ana,
Wassalam.
"Dan apabila Al-Qur'an itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya supaya kamu beroleh rahmat" (Surah Al A'raaf ayat 204)
Sumber:
Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei dan
ibadahislam.com